AAFIYAT OLIVE HOUSE

AAFIYAT OLIVE HOUSE
"Sesungguhnya Allah S.W.T. menurunkan penyakit dan ubatnya dan menjadikan setiap penyakit pasti ada ubatnya. Maka, berubatlah kalian tapi jangan dengan yang HARAM."-(HR Abu Daud)

Friday 27 February 2015

Minyak Zaitun & Jerawat

Minyak Zaitun & Jerawat
(Dr. Hafizah Amanulla)



Kulit kita secara semulajadi Allah S.W.T. ciptakan mempunyai sejenis lapisan pelindung yang dipanggil acid-mantle barrier. Lapisan pelindung ini sedikit berasid dan bertindak sebagai pelindung dari virus, bakteria dan pelbagai punca masalah kulit yang lain. Lapisan ini dirosakkan dengan penggunaan bahan pencuci dan krim-krim muka yang sarat dengan bahan kimia yang kita sendiri tidak faham dan amat susah untuk disebut. Apabila lapisan ini musnah, maka senanglah kulit kita diancam bahaya dan terjadilah jerawat.



Bagi merawat masalah sebegini, puncanya haruslah dihentikan. Tukarkan semua bahan pencuci dengan bahan yang berasaskan semulajadi contohnya sabun minyak zaitun(castile soap). Selepas mencuci muka, keringkan dengan tuala bersih. Gunakan kapas muka dan sapukan toner buatan sendiri ke seluruh wajah termasuk leher. Toner ini boleh dibuat dengan mencampurkan cuka tin (atau cuka buah yang lain) dengan air dengan nisbah 1:3. Jikalau kulit anda sensitif, campuran tadi boleh dicairkan lagi mengikut kesesuaian. Setelah itu, tunggu sehingga lapisan cuka tadi kering dan anda dapat merasakan kulit menjadi halus. Asid asetik dalam cuka ini membantu kulit membentuk semula lapisan pelindung padanya. (Amaran: Jangan sesekali menggunakan cuka makan). Setelah kering, sapu dan urut minyak zaitun ke wajah. Lakukan ini 2 kali sehari. Elakkan memakai bedak asas, atau sebarang krim lain. Minyak zaitun mempunyai kandungan polyphenol yang memelihara sel dari kerosakan, komponen antibakteria yang menghalang dari menerukkan masalah jerawat dan komponen anti-inflamatori yang menghentikan radang pada jerawat.




Bergantung kepada ciri unik masing-masing, ada antara masalah jerawat terus berkurangan dalam masa seminggu dan ada yang menjadi lebih teruk. Bagi yang menjadi lebih teruk (lebih banyak jerawat keluar), anda haruslah bersabar kerana minyak zaitun bersifat menarik toksin keluar dari kulit dan jika amalan ini diteruskan dengan konsisten, hasilnya insyaa Allah, amat memuaskan. Jikalau dalam masa 2 minggu, masalah belum selesai, bolehlah jalani terapi bekam wajah bagi mengeluarkan toksin dengan cepat.



Bagi yang mempunyai kulit berminyak seminggu sekali bolehlah mencuba masker madu asli dicampur asam limau nipis(atau lemon), disapu di wajah dan dibiarkan selama 30 minit sebelum membasuh dengan air suam.
Di samping rawatan topikal, pemakanan juga perlu dijaga. Elakkan makanan proses semampu yang mungkin. Jikalau sebelum ini gemar mengunyah keropok, makan coklat dan makan kek, sila gantikan makanan-makanan itu dengan buah kurma, tin, angggur, pisang atau kekacang yang disediakan sendiri. Sentiasa sediakan bekas kecil dalam beg tangan anda dan isi dengan makanan ‘superfood’ ini supaya anda boleh makan bila perlu. Waallahu'alam.


Wednesday 25 February 2015

Minyak Zaitun & Penyakit Autoimun

Minyak Zaitun & Penyakit Autoimun
(Dr. Hafizah Amanulla)




Penyakit autoimmune adalah penyakit di mana sistem imuniti badan kita menyerang diri sendiri. Atas kecelaruan sistem imun dan akibat dari bahan-bahan makanan yang rosak dan tercemar, sistem tubuh mengenalpasti sel tubuh sendiri sebagai sel asing dan harus dimusnahkan. Bidang perubatan moden masih buntu dengan punca penyakit ini namun saya yakin kemasukan bahan makanan yang diproses dengan pelbagai bahan kimia dan juga makanan yang tinggi pengawet, pewarna dan penstabil menyumbang kepada keadaan ini. Terdapat berpuluh jenis penyakit autoimmune contohnya SLE (systemic lupus erythematosus), "mixed connective tissue disease", rheumatoid arthritis, psoriasis dan banyak lagi.


Minyak zaitun menyeimbangkan kekuatan sistem imun. Hendaklah diketahui bahawa sistem imun manusia belum lagi habis dikaji dan ianya sangat kompleks. Jadi amatlah penting bagi penghidap penyakit ini untuk mengikut tabiat pemakanan semulajadi dan bebas makanan proses. Tubuh badan manusia adalah ciptaan Allah S.W.T., bukannya sesuatu yang terjadi secara kebetulan. Maka, apabila Allah S.W.T. mencipta, Allah S.W.T. juga menurunkan manual penjagaan tubuh badan ini. Sedarkah kita yang hari ini kita banyak memasukkan bahan-bahan "bukan makanan"(non-food substance) ke dalam tubuh kita dan menyebabkan fungsinya terganggu? Makanan sepatutnya berasal benda-benda hidup dan benda hidup dibezakan dengan benda bukan hidup dengan kehadiran sel. Jadi, manusia memerlukan benda hidup lain untuk terus hidup. Namun bahan kimia ciptaan manusia yang tidak wujud di alam ciptaan Allah S.W.T. ini secara semulajadi telah menjadi bahan makanan kita tanpa kita sedari sedangkan tubuh kita akan menjadi sukar untuk meneruskan "hidup" bergantung dengan bahan kimia rekaan ini.



Pewarna tiruan, perasa tiruan, pengawet, penstabil, agen pemekat, agen emulsi, agen antiketul, vitamin dan mineral tiruan dan juga ubat-ubatan kimia telah singgah dalam tubuh manusia abad ini. Semua bahan di atas diperlukan dalam industri, namun hukum Allah S.W.T. telah menetapkan yang ianya bukanlah sesuatu yang boleh diterima oleh tubuh. Jadi, akurlah pada ketentuan Allah S.W.T. dan kembali kepada fitrah makanan halal dan thoiyyibah. Produk Muslim walaupun dikeluarkan oleh orang Islam, namun tetap mengandungi bahan-bahan yang memudaratkan. Tidakkah ini langsung bertentangan dengan konsep halal dan toyyib?


Penyakit autoimmune ini dapat dicegah dan distabilkan dengan makanan semulajadi dan pengambilan "superfood" atau "functional food" yang lain. Minyak zaitun amat penting sebagai bahan asas membaiki usus dan meningkatkan aktiviti antioksida pada sel seterusnya membaiki sel yang rosak. Apabila usus telah dibaiki, maka pengambilan functional food seperti habbatussau'da akan mudah diserap ke dalam darah.


Bagi penyakit autoimmune yang melibatkan kulit seperti psoriasis, minyak zaitun bukan sahaja perlu dimakan, malah perlu disapu di seluruh kulit. Sebaiknya gunakan sabun castile, yang berasaskan minyak zaitun semasa mandi. Selepas mandi, kulit eloklah disapu dengan sebatian cuka buah teen yang telah dicairkan dengan nisbah cuka teen:air sebanyak 1:3. Selepas sapuan cuka ini, barulah minyak zaitun disapu dan diurut pada kulit. Lakukan ini 2 kali sehari. Untuk kesan lebih baik, minyak zaitun bolehlah dipanaskan sedikit di mana mangkuk yang berisi minyak zaitun diletakkan di dalam air yang sedang dipanaskan atas dapur. Minyak zaitun yang suam memberi kesan penyerapan yang lebih. Waallahu'alam.



Monday 23 February 2015

Minyak Zaitun & Kanser Usus

Minyak Zaitun & Kanser Usus
(Dr. Hafizah Amanulla)


Alhamdulillah, syukur pada Allah S.W.T. kerana sifat pengasih dan penyayang-Nya menyebabkan kita dikurniakan pelbagai nikmat hasil dari penciptaan-Nya. Maka tidak perlu kita berpaling lagi dan mencari ciptaan manusia kerana sudah tentunya kesembuhan itu milik Allah S.W.T. sama ada secara terus dari-Nya atau hasil ciptaan-Nya dengan izin-Nya. Minyak zaitun sememangnya suatu keajaiban yang telah diabaikan hampir 100 tahun terutamanya oleh masyarakat Melayu. Sedangkan ianya jelas dipilih oleh Allah S.W.T. untuk dinyatakan dalam al-Quran yang mulia. Maka dengan pengabaian ini, rugilah seluruh tubuh ciptaan Allah S.W.T. ini tanpa disirami nikmat khasiat yang ada dalam minyak zaitun.

Minyak zaitun adalah suatu khasiat yang sangat diperlukan oleh saluran penghadaman dan dari saluran penghadaman ini jugalah bermulanya semua penyakit. Maka dari situ jugalah bermulanya kesembuhan.



Kandungan sebatian phenol yang pelbagai di dalamnya atau disebut polyphenol merupakan adunan khas kombinasi phenol oleh Allah S.W.T. Yang Maha Mengetahui untuk kesihatan sel manusia. Apabila minyak yang mulia ini bersentuhan dengan mukosa usus kita, proses penyembuhan terus bermula. 


Kanser usus adalah kebanyakannya disebabkan faktor makanan proses yang merosakkan virus-virus pencernaan dan juga pengambilan ubat-ubatan contohnya antibiotik yang memusnahkan bakteria baik di dalam usus seterusnya mengganggu keseimbangan ekologi dalaman usus. Bila ekologi ini terganggu, biasanya pesakit akan mendapat cirit-birit yang kerap atau pun masalah sembelit. Masalah ini sekiranya diatasi dengan pengambilan ubatan kimia yang bersifat simptomatik tanpa melakukan perubahan dalam pemakanan, akan menerukkan lagi keadaan. Antara gejala kanser usus adalah berak berdarah, menurunnya berat badan, masalah penyerapan dan hilang selera makan.


Minyak zaitun sudah dibuktikan sebagai pemakanan yang dapat membantu penderita kanser usus dan jika disinergikan(ditambahkan) dengan madu dan habbatus sauda, hasilnya amat memberangsangkan.



Menurut kajian oleh sekumpulan penyelidik di Universiti Ulster, Ireland diketuai Dr Gill, mendapati kandungan polyphenol dalam minyak zaitun menyebabkan sel terlindung dari kerosakan DNA dan apabila diuji ke atas sel kanser usus, ianya mengurangkan pembahagian sel kanser dalam pelbagai peringkat(anti-promoter effect in carcinogenesis pathway).



Mungkin ramai di antara kita yang sedang mempunyai kanser tetapi masih di peringkat awal dan tidak menunjukkan gejala. Untuk kanser peringkat ini, ianya amatlah sukar untuk dikesan oleh doktor dengan pasti. Maka adalah lebih baik kita mengamalkan minyak zaitun setiap hari sebagai langkah pencegahan yang tentunya lebih utama dari perawatan.




Kajian yang dilakukan manusia memberi bukti yang kukuh dan mengangkat martabat minyak zaitun di mata manusia. Namun bagi manusia yang telah yakin 100% dengan kata2 Allah, beramallah dengan minyak zaitun setiap hari dan jadikan ia senjata untuk melawan serangan penyakit yang semakin parah di zaman ini. 

Wallahu'alam.

Tuesday 17 February 2015

Minyak Zaitun & Cyst Ovari

Minyak Zaitun & Cyst Ovari
(Dr. Hafizah Amanulla)


Bagi mereka yang mempunyai masalah cyst di ovary, kebanyakan cyst (kecuali dermoid cyst/teratoma) adalah akibat ketidakseimbangan paras hormon. Hormon wanita bukanlah berada pada paras yang tetap setiap masa. Mengikut kitaran haid, paras hormon-hormon seperti estrogen, progestrogen, follicular stimulating hormon(FSH), luteinizing hormon (LH) juga berubah-ubah. Paras hormon ini sepatutnya berada dalam keseimbangan yang dikawal oleh otak (central control). Ketidakseimbangan hormon terjadi hari ini terutamanya akibat kehadiran xenoestrogen dari persekitaran kita. Bahan dari racun rumpai, racun perosak, bahan kimia dalam shampo seperti phalates, BPA and pelbagai bahan dalam kosmetik bertindak umpama estrogen apabila memasuki badan kita. Estrogen palsu ini akan menyebabkan otak menyangka paras estrogen sudah tinggi dan menghalang ovari merembeskan estrogen. Namun di peringkat sel, estrogen palsu ini walaupun mengikat di reseptor estrogen namun gagal bertindak umpama estrogen. Ini akan merangsang tisu lemak untuk menghasilkan estrogen setempat dan seterusnya lapisan lemak akan menebal dan menyebabkan kegemukan dan pelbagai masalah lain.



Minyak zaitun membantu menyeimbangkan paras hormon dan membantu menyingkirkan xenoestrogen ini. Pada masa yang sama, kemasukan xenoestrogen hendaklah dihentikan. Amalkan aktiviti menanam sayur sendiri tanpa menggunakan racun dan baja kimia, dan amalkan buah-buahan organik. Bagi menggantikan shampoo yang toksik, anda bolehlah belajar membuat shampoo dan juga sabun sendiri dari bahan-bahan alami melalui pelbagai blog di internet terutamanya blog-blog masyarakat Australia, Amerika dan Canada yang sedang sangat aktif melakukan revolusi menukarkan bahan kimia kepada bahan semulajadi demi kesihatan yang lebih sempurna. Selain itu elakkan penggunaan plastik untuk meletakkan bahan makanan yang panas kerana ia boleh menyebabkan bahan kimia berbahaya terbebas ke dalam makanan.Apabila paras hormon mula stabil, maka anda akan dapati berat badan menurun, cyst akan hilang dan kesuburan pun meningkat. Insya Allah.