MAKANAN SUNNAH PENGGANTI VAKSIN ?
1. Assalamualaikum
Warahmatullah semua.
2. Saya dari pendidikan
Syariah dan Undang-undang dari Universiti Al-Azhar, tetapi jujur saya katakan
sehingga kini saya tidak jelas apa maksud "makanan sunnah" secara
akademiknya. Apa yang jelas dari pengajian Syariah ialah berkenaan makanan yang
halal, haram dan syubhat. Jelas dari Al-Quran dan Hadis pecahan tiga ini.
Sesuatu makanan itu boleh menjadi haram atau syubhat sama ada atas faktor
ketaatan (perintah) kepada Allah atau memberikan kemudaran/penyakit kepada
manusia.
3. Adapun selain itu,
tidak ditemukan secara khusus berkenaan "makanan sunnah" atau nama
seiras dengannya. Apa yang sering saya temukan (pastinya penemuan itu daripada
bantuan pensyarah dan profesor-profesor yang saya kenali) adalah dari sudut
tulisan-tulisan hebat atau journal-journal antarabangsa serta pembincangan
ilmiah berhubung "Quranic Food "iaitu makanan yang disebutkan dalam
Al-Quran dan Hadis. Hari ini, Sains moden membuktikan kebaikannya dan
sebahagiannya menjadi aspirasi kepada ciptaan ubat-ubat sintetik bagi industri
ubat moden dan memberi sumbangan besar kepada dunia perubatan moden.
4. Begitu juga journal
yang banyak berkaitan "Prophetic Medicine" penulisan dan kajian
berhubung adakah perubatan yang dianjurkan Nabi itu kewajipan diikuti
sebagaimana Syariat yang menjadi ibadat yang wajib dituruti atau sekadar
saranan semasa mengikut perkembangan perubatan semasa yang berada pada zaman
baginda? Panjang lebar perbahasan secara ilmiah dapat ditemukan satu persatu.
Quranic Food dan Prophetic Medicine kata kunci penting.
5. Istilah "Quranic
Food" dan "Prophetic Medicine" itu wujud bersama penjelasan
saintifik. Hasilnya memberikan kebaikan kepada masyarakat seluruhnya. Adapun
"makanan sunnah" ini saya agak kurang pasti. Terus menafikan istilah
ini saya tidak berani, mungkin ada definasinya yang saya tidak tahu atau
sememangnya ia hanya ucapan rawak yang diterima pakai oleh masyarakat. Ini
kerana istilah "makanan sunnah" ini hanya berlegar di sempadan tanah
air malaysia sahaja, tidak diketahui di negara selainnya. Terbaru saya bertemu
Dr Mohamed Faid (hafal 30 juzuk Al-Quran) yang merupakan saintis serta tokoh
nutrisi dunia memberikan komentar kurang senang dengan istilah makanan sunnah
yang dikombinasikan pelbagai ramuan yang tidak diketahui "chemical
reaction" hasil campuran. Juga apa kesannya kepada tubuh dan tidak pernah
diuji tetapi langsung dijual. Kemudian disandarkan ia sebagai "makanan
sunnah" yang kemungkinan membawa fitnah kepada agama. Itu komen beliau.
6. Saya lebih teruja dan
tertarik dengan beberapa Profesor dari Universiti Al-Azhar (jurusan biology,
chemistry, food sciense dan selainnya. Al-Azhar tidak sekadar mempunyai jurusan
agama, terdapat kampus perubatan dan semua bidang ilmu. Beza kampus mereka
dengan universiti yang lain hanya mereka diwajibkan hafal 30 juzuk Al-Quran).
Maaf, kembali kepada apa yang ingin dikatakan oleh tokoh Al-Azhar, jika mahukan
nama-nama mereka saya kena merujuk semula, tulisan tanpa rujukan sekadar apa
terlintas di minda dan nama mereka tak dapat diingati buat masa sekarang.
7. Kata mereka: Di dalam
Al-Quran menyebut terdapat 5 pokok yang mempunyai kebaikan nutrisi yang hebat;
zaitun, teen, kurma, delima dan anggur. Makanan ini pada Sains moden diiktiraf
sebagai "Super Food" @ "Funtional Food". Bermaksud makanan
yang mempunyai khasiat yang tinggi dan memberi kebaikan kepada tubuh manusia
dan mesti diamalkan. Ditanya: Bagaimana pula dengan madu, habbas sauda dan
lain-lain kenapa tidak dimasukkan di dalam senarai Quranic Food? Dijawab: Madu,
Habbas Sauda dan seumpamanya dikategorikan sebagai ubat. Makanan dan Perubatan
adalah dua tajuk yang berbeza. Soal makanan adalah soal diet, penjagaan
kesihatan, pencegahan, memberikan nutrien yang cukup pada tubuh, gizi dan
lain-lainnya. Adapun madu, habbas sauda, bekam dan selainnya, ini merupakan
soal perawatan dan perubatan memerlukan pakar dan ahli yang layak untuk
bercakap mengenainya. Bila orang awam mula masuk campur dan bercakap sesuka
hati, disiplin ilmu yang tinggi bertukar menjadi sampah.
8. Kesimpulannya:
"Quranic Food" (Makanan) dan "Prophetic Medicine"
(Perubatan) adalah dua tajuk berlainan! Jangan pelik jika fakta kukuh
membuktikan, larangan mengambil habbas sauda bagi pesakit buah pinggang. Bahkan
disebabkan kejahilan dalam bidang perubatan, kesan pengambilan habbas sauda
merosakkan buah pinggang. Ini sama sekali tidak menafikan hadis Nabi berkaitan
kebaikan habbas sauda. Kita akan sedar ianya tidak bertembung apabila memahami
prinsip pemakanan dan perubatan yang diajar oleh Syariat. Pemahaman secara
lateral pada perkara keagamaan yang melahirkan extremes. Soal perawatan
melibatkan banyak isu; kondisi semasa pesakit, metabolisme, dos dan lain-lain
isu yang komplikated yang mana perawat dan ahli dalam bidang perubatan sahaja
yang pakar dan mahir. Itupun ilmu tersebut masih berkembang bukan sudah sampai
ke puncaknya. Bahkan Nabi secara jelas meminta para sahabat untuk urusan
konsultasi perubatan kepada yang ahli walaupun bukan Islam seumpama Haris bin
Kaladah.
9. Vaksin adalah soal
perubatan moden. Kajian, analisa, penemuan, pembuktian dan lain-lain perkara
berkaitan memenuhi dunia ilmu perubatan moden yang adakala atau kebanyakannya
tidak difahami oleh masyarakat awam bahkan ahli perubatan itu sendiri kecuali
yang pakar. Menjadi mengantuk saya kebosanan membaca perdebatan tidak keruan
antara beberapa kelompok yang bercakap soal makanan sunnah dan soal vaksin.
Tuan cik puan, sebelum "bertumbuk" masuk di dalam tajuk dahulu,
terlebih dahulu tetapkan perbincangan agar hasil perbincangan dan konklusi
perbincangan jelas. Seorang bercakap soal payung sumber penghalang hujan dari
terkena tubuh dan seorang bercakap soal rumah sebagai pelindung, seumpama orang
tidak waras perdebatan yang berlaku. Saya hanya analogikan rumah dan payung,
hujan sebagai penyakit. Siapa payung siapa rumah, saya juga tak tahu cuma yang
saya tahu, soal perubatan dan soal pemakanan adalah dua tajuk yang berlainan
serta mempunyai disiplin ilmu yang tidak sama. Dicampur adukkan kedua tajuk,
menjadikan lauk itu basi serta tidak boleh dimakan.
10. Menjadikan pemakanan sebagai
hospital mutlak umpama ucapan orang sasau, manakala merawat tanpa mengambil
berat soal pemakanan ucapan mentah yang tidak masak terzahir kedangkalan amat
nyata di situ. Soal makanan yang baik membantu kesihatan yang optimun dalam
masa yang sama tidak menjamin tidak diuji dengan penyakit. Sehebat apapun ilmu
perubatan moden tidak menafikan pemakanan berperanan penting kepada penyakit
yang dideritai, pengamalan makanan yang betul dan berkhasiat menjadikan para
perawat dan ahli perubatan fokus kepada penyakit sebenar untuk diubati. Soal
pemakanan dan kesihatan berkait rapat antara satu sama lain. Saling melengkapi
bukan memusuhi. Ingat!!!!
11. Sekarang viral isu
vaksin yang merupakan bidang perubatan. Terlalu banyak "evidence"
yang boleh dikongsikan berhubung perkara ini untuk tatapan dan pembacaan
bersama sokongan penerangan, bukannya semborono emosi yang tidak membawa
konklusi keputusan menenangkan di akhirnya. Pro and cont pasti ada, jelaskan
dengan bahasa yang mudah difahami. Ingin bertumbuk atau memberi petunjuk?
Sebagaimana juga soal pemakanan terdapat "evidence" yang jelas secara
saintifik untuk kita ketahui sama ada sesuatu makanan "sunnah" itu
sekadar "bullshit" jeritan menggila penjual produk atau bersama bukti
saintifik. Saya yakin dan percaya soal vaksin juga sama. Bahasa ilmiah ini
boleh menjadi pedoman kepada yang mencari kebenaran. Kongsikan!!!
12. Adapun masyarakat
awam, menjadi tanggungjawab negara/pihak berkuasa untuk meletakkan
undang-undang yang sesuai demi kebaikan bersama. Mereka mungkin tidak mempunyai
kapasiti memahami perbincangan yang komplikated, mereka hanya perlu
undang-undang yang baik untuk memelihara mereka. Semestinya negara/pemimpin
telah difikir sehabisnya dan dipilih neraca paling baik untuk dilaksanakan
termasuk implikasi undang-undang apabila diwajibkan atau diharuskan sesuatu
undang-undang. Ini kaedah terbaik, bukannya perdebatan dengan awam yang
sehingga kiamat tidak akan memahami hasil perbincangan hingga ke akhirnya.
Sampai ke hari kiamat mereka akan berada dalam keraguan soal vaksin itu apa,
kelompok ini perlu pemimpin untuk dipauti. Jadilah pemimpin itu!!!
Ustaz Aidil Azwal Zainudin
CEO Olive House
No comments:
Post a Comment